
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia akan terus mengekalkan dasar luar yang bebas, proaktif dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa dalam berdepan landskap ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi dunia.
- Dasar luar dirancang teliti untuk mempertahankan kepentingan negara dan memastikan keputusan dasar dibuat secara bebas.
- Tidak berkecuali dalam isu hak asasi dan kedaulatan negara, termasuk sokongan terhadap Palestin walaupun melibatkan rakan strategik berpengaruh.
- Berpegang kepada penyelesaian aman berdasarkan undang-undang antarabangsa, menolak kekerasan atau paksaan, serta mengekalkan kebebasan pelayaran dan kedaulatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu merupakan strategi yang dirancang secara teliti bagi memastikan Malaysia terus mampu mempertahankan kepentingan negara serta membuat keputusan secara bebas.
“Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendirian, menjalin hubungan dan menyokong inisiatif yang selaras dengan nilai, prinsip serta kepentingan negara.
“Malaysia tidak boleh berkecuali dalam isu yang melibatkan hak asasi, seperti perjuangan rakyat Palestin atau usaha membanteras Islamofobia, mahupun dalam perkara yang menyentuh kepentingan teras negara termasuk kedaulatan wilayah, walaupun ia melibatkan rakan strategik yang berpengaruh seperti China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini hari ini.
Tambah beliau, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip penyelesaian pertikaian secara aman berlandaskan undang-undang antarabangsa, selain menolak penggunaan kekerasan atau paksaan sama ada melalui ketenteraan mahupun ekonomi.
Katanya, kebebasan pelayaran, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pematuhan kepada rangka kerja perundangan antarabangsa kekal menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan serantau dan global.