
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Keganasan dan konflik yang berlaku di beberapa rantau dunia perlu dihentikan segera menerusi gencatan senjata bagi mengutamakan perlindungan orang awam.
- Kegagalan negara berpengaruh bertindak membuka ruang kepada konflik berpanjangan dan memburukkan krisis antarabangsa.
- Penghormatan terhadap norma dan undang-undang antarabangsa semakin merosot apabila kepentingan nasional mengatasi prinsip perundangan.
- Pembatalan penghantaran peluru berpandu Norway menjejaskan Malaysia; kerajaan akan menuntut penyelesaian diplomatik dan perundangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan untuk bertindak, khususnya oleh negara yang mempunyai pengaruh terhadap rejim Zionis, membuka ruang kepada konflik yang berpanjangan.
“Keganasan dan kekejaman seperti ini sama ada di Eropah, Asia Barat atau Afrika mesti dihentikan melalui gencatan senjata yang mengutamakan perlindungan orang awam.
“Keadaan ini menggambarkan masa depan yang suram, sedangkan pada masa yang sama umat manusia sepatutnya meraikan kemajuan besar dalam bidang ekonomi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini, hari ini.
Tambah beliau, cabaran global semasa turut mencerminkan semakin berkurangnya penghormatan terhadap norma serta undang-undang antarabangsa apabila kekuatan dan kepentingan nasional yang sempit dilihat semakin mengatasi prinsip perundangan.
“Kini, kuasa dan kepentingan sesetengah negara dilihat semakin mengatasi prinsip kebenaran, sehingga sanggup mengetepikan undang-undang serta tanggungjawab yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia turut menerima kesan daripada situasi tersebut apabila penghantaran peluru berpandu serangan laut yang ditempah daripada pembekal Norway dibatalkan secara unilateral, meskipun hampir keseluruhan pembayaran telah dibuat.
Beliau menegaskan pendirian Malaysia terhadap syarikat berkenaan dan Norway adalah jelas serta tidak berbelah bahagi.
“Walaupun Malaysia akan terus mendapatkan penyelesaian melalui saluran diplomatik dan perundangan dengan penuh keikhlasan, insiden ini mencerminkan masalah yang lebih besar serta trend berbahaya berkaitan amalan dwistandard oleh pihak yang mendakwa mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Adakah boleh diterima apabila sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, sedangkan negara lain pula dikenakan piawaian pematuhan yang paling ketat?” katanya lagi.
Menurut beliau, sekiranya prinsip “satu peraturan untuk saya dan satu lagi untuk anda” terus diamalkan dalam hubungan antarabangsa, ia akan menjejaskan usaha membina kerjasama yang adil antara negara maju dan negara-negara Selatan Global.