RM15 bilion kemudahan pembiayaan bantu PMKS hadapi kenaikan kos

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan berjumlah RM15 bilion disediakan menerusi bank serta agensi kerajaan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperoleh modal kerja untuk mengekalkan operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perkenal kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank, BSN, Bank Rakyat, MARA dan TEKUN.
  • SJPP lancar Skim Jaminan Bantuan Kerajaan MADANI RM5 bilion; meluluskan jaminan RM219 juta kepada lebih 300 PMKS dan fasilitasi penstrukturan semula.
  • STR dan SARA tingkatkan kuasa beli, manfaat hampir sembilan juta penerima, sokong pendapatan PMKS dan 13,000 rakan niaga termasuk 6,000 kedai runcit.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan kenaikan kos logistik dan harga input susulan konflik Asia Barat.

Jelasnya, antara langkah diperkenalkan ialah kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, MARA dan TEKUN Nasional.

“Sepanjang 15 Mei hingga 26 Jun 2026, lebih RM500 juta pembiayaan mikro telah diluluskan dan memanfaatkan lebih 30,000 usahawan. Bagi memastikan PMKS terus mendapat akses pembiayaan, kerajaan turut meluncurkan Skim Jaminan Bantuan Kerajaan MADANI bernilai RM5 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP),” katanya.

Beliau menyatakannya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun 2026, SJPP meluluskan jaminan pembiayaan berjumlah RM219 juta kepada lebih 300 PMKS, khususnya dalam sektor agro, pembinaan, logistik dan pelancongan.

SJPP turut bekerjasama dengan institusi perbankan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan serta menyediakan bantuan bayaran balik bersasar.

“Bank Negara Malaysia pula menyediakan dana RM5 bilion menerusi SME Stabilisation Relief Facility, dengan hampir RM1 bilion diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS sejak pertengahan Mei 2026.

“Baki dana sekitar RM4 bilion masih tersedia bagi permohonan seterusnya,” jelasnya.

Dalam masa sama, peruntukan RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut membantu meningkatkan kuasa beli serta merancakkan permintaan domestik.

Hampir sembilan juta penerima menikmati STR dan SARA, manakala SARA untuk Semua memanfaatkan 22 juta rakyat.

“Perbelanjaan bantuan itu di kedai runcit, pasar, gerai makanan dan premis tempatan turut menyokong pendapatan PMKS di seluruh negara.

“Setakat Jun 2026, lebih 13,000 rakan niaga SARA terlibat, termasuk 6,000 kedai runcit kecil,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.