
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa bulan, selain memuji usaha negara-negara Teluk, Türkiye, Pakistan serta pihak berkaitan dalam menjayakan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan.
- Perdana Menteri bimbang pelanggaran MoU; pematuhan gencatan senjata dan pembukaan semula Selat Hormuz bagi perkapalan antarabangsa perlu diberi keutamaan.
- Konflik menaikkan harga makanan dan tenaga; berbilion dolar dialihkan daripada pembangunan sosial dan ekonomi kepada pembelian keperluan asas.
- Perhatian dunia mesti kekal terhadap keseluruhan situasi Asia Barat, termasuk penderitaan rakyat Palestin dan serangan di Gaza serta Lubnan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa bimbang susulan pelanggaran terhadap MoU tersebut.
“Pelanggaran terhadap MoU itu merupakan perkara yang membimbangkan. Pematuhan sepenuhnya terhadap syarat-syarat gencatan senjata serta pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini perlu diberi keutamaan tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di ibu negara, hari ini.
Jelas beliau, konflik yang berlaku turut memberi kesan terhadap ekonomi global apabila harga makanan dan tenaga kekal tinggi berikutan usaha negara-negara menjamin bekalan masing-masing.
“Berbilion-bilion dolar yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan sosial dan ekonomi telah dialihkan kepada pembelian barangan keperluan asas.
“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya lagi.
Menurut beliau, perhatian dunia tidak seharusnya dialihkan daripada situasi keseluruhan di Asia Barat, termasuk konflik berterusan yang melibatkan rakyat Palestin serta serangan di Gaza dan Lubnan.
Namun, pendudukan, penindasan dan perampasan hak rakyat Palestin perlu diberi perhatian sebagai isu kemanusiaan yang berterusan.