
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Sembilan daripada 10 instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) telah dibangunkan.
- Enam peraturan subsidiari dikuatkuasakan secara berperingkat, merincikan penguatkuasaan termasuk fi, bentuk aku janji dan pelan keselamatan dalam talian.
- Instrumen terakhir (Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian: Sifat Lain bagi Ciri-ciri Pesanan Peribadi) sedang dalam rundingan awam hingga 20 Julai 2026.
- MCMC memperkenalkan Kod Perlindungan Kanak-kanak dan Kod Pengurangan Risiko berkuatkuasa 1 Jun 2026, serta garis panduan pemeliharaan dan penzahiran data siasatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, enam peraturan subsidiari dikuatkuasakan secara berperingkat bagi memperincikan aspek penguatkuasaan merangkumi fi, bentuk aku janji termasuk pelan keselamatan dalam talian.
Jelasnya, instrumen terakhir kini dalam proses rundingan awam sebelum dimuktamadkan.
“Bagi melengkapkan keseluruhan kerangka kawal selia, MCMC kini sedang mengadakan rundingan awam bagi membangunkan instrumen subsidiari yang terakhir iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-ciri Pesanan Peribadi). Rundingan awam tersebut telah bermula pada 19 Jun 2026 dan dijadualkan berakhir pada 20 Julai 2026 sebelum peraturan ini dimuktamadkan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail di Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut memperkenalkan Kod Perlindungan Kanak- Kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2026 bagi memperkukuh perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak dalam persekitaran digital.
MCMC turut menerbitkan garis panduan pemeliharaan dan penzahiran Data Komunikasi bagi tujuan penyiasatan untuk membantu pelaksanaan siasatan di bawah Akta 866.