PUTRAJAYA, 23 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia bebas menyuarakan pandangan dan pendiriannya selain menjalin hubungan baik dengan mana-mana negara.
Anwar turut mengambil contoh Dasar Pandang ke Timur perkara itu disebabkan sebelum ini ia hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi.
Kini ia turut meliputi China berikutan lonjakan pencapaian negara itu dalam aspek teknologi industri dan pendidikan.
"Hubungan baik Malaysia dengan Amerika Syarikat masih kekal meskipun hubungan dengan China sudah terjalin," kata Anwar.
Bagaimanapun Perdana Menteri menegaskan hubungan baik yang terjalin tidak bermakna Malaysia tidak boleh suarakan pandangan.
Dalam pada itu kestabilan politik dalam negara membolehkan Kerajaan Perpaduan terus fokus membangun dan mengembangkan ekonomi negara tahun depan.
Anwar berkata, usaha itu terarah kepada langkah mempertingkat pelaburan domestik dan menarik lebih banyak pelaburan luar.
Kerajaan juga memberi fokus terhadap kekuatan ekonomi menerusi aspek tatakelola, kemudahan menjalankan perniagaan selain mengurangkan kerenah birokrasi.
Selain kekuatan ekonomi, aspek pendidikan turut dijadikan tumpuan termasuk memperkasa penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.