
PUNCAK ALAM, 16 April – Majlis Sinergi Prestasi Cemerlang 2025 yang berlangsung hari ini meraikan kejayaan cemerlang pelajar dari Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) di bawah Jabatan Penjara Malaysia dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
- Pencapaian 100 peratus kelayakan sijil selama empat tahun berturut-turut mencerminkan komitmen dan kegigihan guru.
- Pendidikan berterusan mampu membentuk masa depan lebih baik kepada golongan berkenaan.
- Pengiktirafan rasmi diberikan melalui beberapa anugerah termasuk pencapaian SPM, kualiti pengurusan, perpustakaan terbaik dan guru inspirasi.
- Keseimbangan sahsiah terpuji dan kecerdasan intelek adalah kunci utama untuk pengintegrasian semula ke masyarakat.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional), Rosoman Abu Bakar berkata, seramai 99 pelajar daripada kedua-dua institusi tersebut telah menduduki peperiksaan berkenaan.
Menurut beliau, pencapaian 100 peratus kelayakan sijil selama empat tahun berturut-turut, iaitu dari 2022 hingga 2025, mencerminkan komitmen tinggi serta kegigihan para guru dalam mendidik pelajar di sekolah berkenaan.
Beliau turut menegaskan kejayaan itu membuktikan bahawa peluang pendidikan yang berterusan mampu membentuk masa depan lebih baik kepada golongan berkenaan.
“Majlis yang diadakan pada hari ini merupakan satu bentuk pengiktirafan rasmi terhadap kejayaan murid-murid yang telah menunjukkan kesungguhan belajar yang luar biasa, sekali gus membuktikan bahawa tembok penjara bukanlah penghalang kepada kejayaan sesiapa pun.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam mendidik murid-murid di institusi-institusi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sinergi Prestasi Cemerlang 2025 di sini, hari ini.
Antara anugerah yang diberikan dalam Majlis Sinergi Prestasi Cemerlang adalah Anugerah Pencapaian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Anugerah Standard Kualiti Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan, Anugerah Perpustakaan Terbaik dan Anugerah Guru Inspirasi.
Beliau berkata keseimbangan antara sahsiah yang terpuji dan kecerdasan intelek dipercayai menjadi kunci utama untuk mereka berjaya mengintegrasikan diri semula ke dalam masyarakat kelak.