Pelancaran ‘War Room’ SPAN, usaha kerajaan perkukuh kesiapsiagaan air negara

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 16 April– Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani cabaran perubahan iklim ekstrem menerusi pelancaran Pusat Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai nadi pemantauan strategik bekalan air negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif menggabungkan data, kepakaran dan tindakan agensi utama seperti PETRA, SPAN, JPS, NADMA serta operator air.
  • War Room membolehkan pemantauan masa nyata terhadap status 43 empangan utama di seluruh negara.
  • Koordinasi antara agensi dipertingkat untuk membolehkan tindakan pantas; mitigasi termasuk bekalan alternatif dan teknologi rawatan tambahan.
  • Orang ramai boleh memantau status 43 empangan secara telus melalui platform War Room dan diminta menggunakan air secara berhemah.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pusat operasi tersebut bertujuan memastikan bekalan air kekal terjamin, stabil dan berdaya tahan menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan.

Menurut beliau, inisiatif itu menggabungkan data, kepakaran dan tindakan pelbagai agensi utama termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan operator air.

“Pelancaran War Room ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk beralih kepada pendekatan yang lebih proaktif, telus dan berpaksikan data dalam menghadapi cabaran perubahan iklim,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai fungsi platform tersebut, Datuk Seri Fadillah menjelaskan bahawa status 43 empangan utama di seluruh negara kini boleh dipantau secara masa nyata.

Selain itu, koordinasi antara agensi turut dipertingkatkan bagi membolehkan tindakan pantas diambil, manakala langkah mitigasi seperti penyediaan bekalan alternatif dan teknologi rawatan tambahan terus dipergiat.

Meskipun status bekalan air negara secara keseluruhan dilaporkan masih terkawal, beliau memaklumkan terdapat beberapa empangan menunjukkan penurunan paras air susulan fenomena cuaca panas dan kering yang berpanjangan.

Sehubungan itu, usaha jangka pendek dan panjang sedang dilaksanakan bagi menjamin keselamatan air negara.

“Saya ingin menyeru semua rakyat untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemah. Kerjasama semua amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan air untuk kesejahteraan rakyat dan kemampanan negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, orang ramai kini boleh memantau status semasa sumber dan bekalan air di 43 empangan utama secara telus menerusi platform War Room di pautan, https://warroom.span.gov.my/warroom.