JAKARTA, 15 Februari - Majlis Media Malaysia yang sedang dirancang penubuhannya perlu bersifat bebas daripada campur tangan pihak berkepentingan walaupun kos pengoperasiannya menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.
Ketua pengarang IDN Times Uni Lubis berkata, ia demi memastikan kelangsungan media yang mana fungsinya penting untuk mata dan telinga rakyat.
Ini selari dengan kebebasan media yang disifatkan sebagai kekuatan keempat (the fourth estate) dalam membangun negara demokrasi.
“Meskipun operasinya menggunakan belanjawan negara tetapi institusi itu perlu bebas dari sebarang intervensi (campur tangan) dalam urusan antara dua pihak termasuk pemerintah. Maka, Pers Council (Majlis Media) itu perlu menjadi lembaga bebas tertinggi yang menguruskan wartawan.
“Seperti di Indonesia di mana operasi (Dewan Pers) dari belanjawan negara tetapi ia bebas. Kerana dana itu bukan dari duit presiden sebaliknya wang rakyat dan pembayar cukai. Jadi tidak mengapa. Kerana pers (media) yang merdeka, profesionalisme itu penting bagi sesebuah demokrasi,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Ibu Pejabat IDN Times pada Rabu.
Delegasi media Malaysia, seramai 15 wartawan melawat ke ibu pejabat media digital di republik itu buat pertama kalinya sempena Program Jejak Serumpun.
Dalam lawatan ke republik itu pada hari ketiga, delegasi ISWAMI Malaysia berpeluang menyaksikan proses pilihan raya yang merupakan pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia di pusat pengundian 060 Lebak Sulus di Jakarta Selatan.
Pengamal media turut melakukan liputan di pusat pengundian berkenaan yang menjadi pusat mengundi bagi calon presiden Indonesia Anies Baswedan sebelum mengadakan sesi temu bual khas di kediamannya di sekitar pusat mengundi itu.
ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun nusantara.