
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Usaha memperkasa kebajikan golongan asnaf terus diperkukuh apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merasmikan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu di Jalan Pelangi 10, Taman Pelangi, di sini.
- PAZA mempercepat, memudahkan dan menjadikan agihan zakat lebih selesa serta mudah diakses oleh masyarakat setempat.
- Inisiatif #MadaniMembantu menggabungkan perkhidmatan kaunter dan turun padang termasuk agihan bakul makanan serta lawatan kasih ke penerima.
- MAIWP mengagihkan RM505.6 juta melalui 38 skim; usaha berterusan diperlukan bagi memastikan tiada asnaf tercicir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pembukaan pusat komuniti moden itu merupakan langkah signifikan dalam memastikan agihan zakat dilaksanakan dengan lebih pantas, selesa dan mudah diakses oleh masyarakat setempat.
Menurut beliau, inisiatif berteraskan semangat #MadaniMembantu itu bukan sahaja memudahkan urusan di kaunter, malah turut melibatkan pendekatan turun padang bagi menyantuni golongan memerlukan.
“Sebanyak 50 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu telah diagihkan kepada asnaf, selain program ziarah kasih ke rumah penerima bantuan sekitar Parlimen Batu, khususnya di PPR Pekan Batu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga 23 Jun 2026, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM505.6 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan serta program pembangunan modal insan.
Tambah beliau, usaha berterusan perlu digembleng bagi memperkukuh ekosistem zakat yang profesional agar tiada golongan asnaf tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
“Ayuh umat Islam, kita terus suburkan ekosistem zakat yang profesional ini demi memastikan tiada asnaf yang tercicir daripada perhatian, insya-Allah! ,” katanya.