
SHAH ALAM, 25 Jun – Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini disifatkan mampu meringankan beban kewangan pengguna bagi urusan harian dan perniagaan.
- Penurunan harga diesel meringankan kos harian dan perniagaan bagi pengguna kenderaan diesel.
- Pengguna kenderaan diesel berasa lega kerana kos operasi kerja harian berkurang.
- Harapan agar penurunan bahan api diterjemahkan kepada harga barang dan makanan yang lebih rendah.
- Penurunan harga perlu dilaksanakan secara konsisten supaya manfaat memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.
Pengguna diesel, Gan Kian Yong berkata penurunan itu memberi kesan langsung kepada mereka yang bergantung pada kenderaan diesel untuk bekerja.
“Saya memang gembira dengan penurunan harga diesel ini kerana ia boleh mengurangkan kos untuk kerja seharian,” katanya.
Mohd Shariif Mohd Tamin pula berharap penurunan harga diesel bersubsidi dapat diterjemahkan kepada harga barangan lebih rendah.
“Saya sebagai pengguna kenderaan diesel berasa lega dan saya harap harga barang ikut sama turun mulai Julai ini,” katanya.
Ahmed Thaqif Iman Iqmal turut berharap pengurangan kos bahan api dapat memberi ruang kepada peniaga menurunkan harga barangan.
“Para peniaga pun mungkin boleh turunkan harga makanan atau barang mentah. Itu harapan saya,” jelasnya.
Sementara itu, Hakeem Ismail berpandangan manfaat penurunan harga diesel tidak seharusnya bersifat sementara, sebaliknya dilaksana secara konsisten dan berterusan.
“Yang penting, kerajaan terus komited membantu rakyat melalui langkah yang mampan dan memberi kesan pada masa panjang,” katanya.