
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pusat Koreksional Batu Gajah mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pencalonan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
- Pusat Koreksional menganjurkan Kursus Asas Sokongan Hayat dan latihan penggunaan Automated External Defibrillator
- Seramai 42 prospek menamatkan kursus hasil kerjasama strategik dengan Hospital Batu Gajah
- Inisiatif ini memperkasakan pemulihan holistik, membentuk nilai kemanusiaan serta menyokong reintegrasi sosial prospek
Pencalonan itu dibuat menerusi penganjuran Kursus Asas Sokongan Hayat (Basic Life Support – BLS) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED).
Seramai 42 prospek berjaya menamatkan kursus hasil kerjasama strategik antara pusat koreksional itu dan Hospital Batu Gajah.
Menurut Timbalan Komisioner Penjara, Fayrouz Ahmad Zawawi yang juga Pengarah Penjara Negeri Perak, pelaksanaan kursus berkenaan merupakan inisiatif penting selaras aspirasi Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkasakan program pemulihan prospek secara holistik.
“Program seumpama itu bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal, malah membentuk nilai kemanusiaan, disiplin, tanggungjawab sosial serta keyakinan diri dalam kalangan prospek.
“Penglibatan prospek dalam kursus ini membuktikan setiap individu mempunyai potensi untuk berubah dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat apabila kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Perasmian Penutup kursus berkenaan yang berlangsung di Wisma Pegawai Penjara, di Batu Gajah, petang Rabu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Muhammad Najib Adnan; Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr. Jayakumaran Jayabalan; Pakar Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan, Dr. Tirumal Subramaniam serta Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, S. Tanabal Socklingam.
Beliau turut menegaskan pencalonan dalam MBOR mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam melaksanakan program pemulihan yang inovatif, progresif dan berimpak tinggi.
Program tersebut diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan modal insan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh usaha pemulihan dan reintegrasi sosial prospek.