KUALA TERENGGANU, 24 September – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersedia memberikan bantuan kepada anak-anak pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang ditinggalkan, sekiranya diperlukan.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata bantuan tersebut merangkumi aspek pendidikan dan kemahiran, namun akan diberikan hanya jika mereka memenuhi kriteria untuk memulakan hidup baru.
Katanya, menerusi pemantauan yang dilakukan bersama pihak polis mendapati tiada kanak-kanak pengikut GISBH yang terabai di negeri itu dan semua premis yang dikaitkan dengan kumpulan itu telah dikosongkan.
"Pihak jabatan agama dan polis akan sentiasa memantau pergerakan mereka, termasuk menyediakan bantuan kemahiran jika mereka benar-benar insaf," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu, di sini.