MAHEIS perkukuh peranan Pusat Islam IPT tangani cabaran sahsiah mahasiswa

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin

TANJONG MALIM, 30 Julai – Majlis Hal Ehwal Islam Institut Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS) komited memperkukuh peranan Pusat Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha membangunkan sahsiah mahasiswa serta menangani pelbagai cabaran sosial semasa yang semakin kompleks dalam kalangan generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Islam mesti menjadi rakan strategik membimbing dan membentuk sahsiah mahasiswa, bukan sekadar mengendalikan program pengisian keagamaan.
  • Pendekatan proaktif dan kerjasama universiti diperlukan untuk menangani gejala sosial termasuk hubungan eksploitasi dan peningkatan penyakit jangkitan seksual.
  • MAHEIS menganjurkan muktamar kepimpinan dan program outreach antarabangsa, serta memperkukuh ukhwah dan jaringan Pusat Islam IPT.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, pembangunan karakter mahasiswa perlu diberi keutamaan memandangkan institusi pengajian tinggi kini berdepan pelbagai isu sosial yang memerlukan pendekatan lebih proaktif dan bersepadu.

Beliau berkata, Pusat Islam di IPT tidak boleh lagi hanya berperanan melaksanakan program berbentuk pengisian keagamaan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik dalam usaha membimbing dan membentuk sahsiah mahasiswa.

“Peranan kita sangat besar untuk melihat cabaran yang dihadapi mahasiswa hari ini termasuk gejala sosial dan pengaruh yang boleh menjejaskan fokus mereka dalam menuntut ilmu.

“Pusat Islam perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendekati mahasiswa serta melaksanakan dakwah secara berterusan agar mesej yang disampaikan benar-benar sampai kepada golongan sasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam MAHEIS di Dewan Muallim Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, semalam.

Beliau berkata, antara cabaran yang perlu diberikan perhatian ialah trend hubungan bersifat eksploitasi seperti ‘sugar daddy’ serta peningkatan kes penyakit jangkitan seksual yang dilaporkan berlaku dalam kalangan mahasiswa di beberapa universiti.

Katanya, isu berkenaan memerlukan kerjasama erat antara pihak pengurusan universiti dan Pusat Islam bagi melaksanakan usaha pencegahan serta pendidikan yang berkesan.

“Sebagai universiti pendidikan, tanggungjawab UPSI amat besar dalam melahirkan bakal pendidik negara. Kita perlu memastikan guru yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mempunyai adab dan akhlak yang baik untuk membentuk generasi masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif MAHEIS merangkap Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim berkata MAHEIS bakal menganjurkan Muktamar Kepimpinan Muda Masjid MADANI pada Oktober ini yang dijangka menghimpunkan kira-kira 150 pimpinan pelajar yang menggerakkan institusi masjid di universiti seluruh negara.

Selain itu, MAHEIS juga merancang pelaksanaan program dakwah dan khidmat komuniti di Sabah pada tahun hadapan serta meneruskan program antarabangsa seperti International Community Outreach Programme (ICOP) bagi memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian pengalaman dalam kalangan warga Pusat Islam IPT.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, UPSI berbesar hati menjadi tuan rumah penganjuran program MAHEIS kali ini yang menghimpunkan delegasi seramai 80 peserta daripada IPT awam dan swasta seluruh negara.

Program yang berlangsung selama dua hari itu turut diisi dengan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Pusat Islam IPT, aktiviti kayak serta pertandingan boling yang menjadi platform mengukuhkan ukhwah dan jaringan kerjasama antara warga Pusat Islam IPT di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.