
SEMENYIH, 4 Julai – Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melaksanakan Terapi Memori Kreatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah di sini mengimbau dan mengabadikan kisah hidup mereka.
- Memori penghuni diterjemahkan kepada gambar menggunakan teknologi AI dan diserahkan sebagai cenderahati.
- Program merangkumi sesi Cabaran Memori, senamrobik ringan dan gotong-royong untuk menceriakan persekitaran pusat jagaan.
- Dirancang untuk mengukuhkan nilai kendiri warga emas, memupuk penuaan sihat menjelang 2030, serta melibatkan mahasiswa dan sumbangan.
Ketua Projek Beno Mustapha berkata inisiatif berkenaan merupakan antara pengisian program Heart2Hope: Spreading Care, Inspiring Hope yang dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jelas beliau, menerusi terapi itu, perkongsian dan kenangan penghuni pusat jagaan tersebut diterjemahkan kepada gambar menggunakan teknologi AI sebelum diberikan kepada mereka sebagai cenderahati.
“Selain terapi berasaskan AI, program itu merangkumi sesi Cabaran Memori, senamrobik ringan dan gotong-royong untuk menceriakan persekitaran pusat jagaan.
“Pendekatan itu selaras usaha meningkatkan kesedaran mengenai penuaan sihat menjelang Malaysia menjadi negara tua pada 2030,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rangkaian aktiviti itu dirancang bagi memastikan setiap warga emas bukan sahaja menerima hiburan, malah memperoleh pengalaman bermakna yang dapat mengukuhkan nilai kendiri mereka.
Program itu dikendalikan mahasiswa Semester Tujuh program Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.
Salah seorang mahasiswa, Ahmad Firman berkata program berkenaan memberi ruang kepadanya untuk menghayati nilai ihsan seperti ditekankan dalam kerangka Malaysia MADANI.
“Kadangkala kita terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga terlupa ada golongan yang sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang,” katanya.
Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Arifin, menzahirkan rasa gembira kerana dapat berinteraksi dengan penghuni lain dan pelawat menerusi program berkenaan.
“Suka duduk di sini kerana ramai kawan dan boleh berinteraksi. Kadang-kadang ada pelawat datang dan itu yang membuatkan saya bersyukur. Memang pusat ini bagus, alhamdulillah,” katanya.
Pada program sama, penganjur menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai serta peralatan dan barangan keperluan kepada Pusat Jagaan Mahmudah.