fb fb fb fb fb

Lori bawa masuk 10,000 kg tinja haiwan tanpa permit ditahan di Johor

FOTO MAQIS Johor

JOHOR BAHRU, 15 Mei- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 10,000 kilogram tinja haiwan ke negara ini tanpa permit import sah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru pada Selasa lalu.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, bahan tersebut dipercayai tinja ayam yang cuba dibawa masuk dari Singapura melalui laluan lori import.

"Pemeriksaan ke atas lori terbabit menemukan 22 guni tinja haiwan dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.

"Pemandu lori berusia 39 tahun turut ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil," katanya.

Kes disiasat megikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang memperuntukkan larangan membawa masuk sebarang bahan pertanian atau haiwan tanpa kelulusan sah.

MAQIS menegaskan komitmennya untuk memastikan semua tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, hasil pertanian dan tanah yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE