fb fb fb fb fb

Lokasi stesen minyak tanpa subsidi di JB sedang dikaji- Salahuddin

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

JOHOR BAHRU, 24 Jun - Kerajaan sedang mengkaji lokasi sesuai bagi membangunkan stesen minyak tanpa subsidi di Johor Bahru.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kajian terperinci perlu dibuat pihaknya memandangkan Johor bersempadan dengan Singapura, selain banyak kenderaan dari republik itu mengisi petrol di bandar raya ini.

"Menerusi projek rintis di dua stesen minyak tanpa subsidi yang dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, ia dapat menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.

"Di Johor Bahru ini, kita sedang buat kajian terperinci kalau ada tempat sesuai, kita akan buka untuk mengelakkan atau meminimumkan aktiviti pembelian minyak bersubsidi oleh kenderaan asing," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran iTTV e-Learning Rahmah di Kempas.

Pada 18 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata KPDN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis.

Kata Ahmad Zahid, KPDN sedang peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutamanya di Kelantan dan akan disusuli dengan Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor.

Salahuddin turut mengingatkan bahawa kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan mengisi petrol bersubsidi RON95 termasuklah mengisikannya ke dalam tong bagi kegunaan kenderaan lain kerana subsidi petrol hanya diberikan kepada rakyat Malaysia.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Media Baharu