BESUT, 4 Oktober – Lokasi kejadian kebocoran paip gas di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Kerteh, Kemaman masih ditutup.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin menjelaskan, penutupan sementara itu bagi membolehkan siasatan dan analisis punca kebocoran dapat dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu.
“Masih ada petugas (berkawal) di lokasi kerana kita tidak mahu orang awam atau yang tidak berkenaan berada di kawasan tersebut.
“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai tidak dibenarkan berada di lokasi terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Kontinjen Terengganu di Taman Persiaran Limbongan, Kampung Raja, di sini.
Dalam kejadian pada 20 September lalu, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan kejadian kebocoran paip gas projek ECRL Seksyen 5, dekat Kerteh.
Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor itu telah dihentikan dan ditutup sementara waktu hingga kerja penyelenggaraan oleh kontraktor selesai dijalankan.