fb fb fb fb fb

Lima peratus syarikat pemula berasaskan teknologi direkodkan pada 2010-2020

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan
Persidangan Inovasi Malaysia 2022
di MITEC) /BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Hanya lima peratus syarikat pemula berasaskan teknologi direkodkan daripada 5,435 syarikat pemula dari tahun 2010 hingga 2020.

Perdana Menteri berkata pendekatan jangka pendek dan sederhana serta kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dipergiatkan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

"Lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit.

"Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan 'Malaysian Open Science Platform' untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri", katanya.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan
pada majlis perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di MITEC/BERNAMA)

Beliau berkata sebanyak 80 peratus penyelidik di negara ini pada tahun 2018 direkodkan dari institusi pengajian tinggi, manakala 97.4 peratus usahawan pula melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Sementara itu, 5,000 syarikat pemula dan lima syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih US$1 bilion disasarkan menjelang tahun 2025. Ia sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER.

Tiga entiti turut ditubuhkan dalam usaha meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.

Media Baharu