KOTA KINABALU, 30 September- Lima kanak-kanak rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah setinggan, satu unit stor dan sebuah kedai runcit di Jalan Lembaga Padi dekat sini tengah hari tadi.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Farhan Sufyan Borhan berkata kebakaran dilaporkan pada pukul 12.47 tengah hari dan pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 12.54 tengah hari.
"Kelima-lima mangsa ditemukan rentung dalam tandas salah sebuah rumah yang terbakar 100 peratus.
"Mereka dikenal pasti sebagai Raisa (4 tahun), Raidah (3 tahun), Raina (1 tahun), Almidah (14 tahun) dan Siti Faridah (3 tahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Farhan berkata operasi memadam kebakaran melibatkan 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan.
Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan struktur rumah, stor dan kedai runcit itu berjaya dikawal pada pukul 1.29 petang, namun operasi sepenuhnya hanya selesai pada 6.22 petang.
"Kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan dan sebuah motosikal,” katanya sambil memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Sementara itu, saksi kejadian, Ramli Sirajuddin berkongsi detik cemas ketika dia cuba membantu mangsa-mangsa yang terperangkap dalam rumah berkenaan.
"Ketika itu saya baru balik ke rumah dan sedang mandi, tiba-tiba saya terdengar bunyi jeritan. Saya keluar dan nampak asap tebal berkepul-kepul di luar rumah. Saya terdengar suara kanak-kanak menjerit dari bawah kolong (ruang bawah rumah). Saya cuba masuk, tetapi asap semakin tebal dan api semakin marak. Saya terpaksa keluar semula kerana sukar bernafas." katanya kepada pemberita RTM.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Kasim Muda memaklumkan kesemua mangsa dipercayai tinggal bersebelahan ketika kejadian dan sedang bermain di bahagian belakang rumah sebelum kebakaran itu berlaku.