KUALA LUMPUR, 7 November - Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata, isu keanggotaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Liberal International (LI) tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-pihak pihak memandangkan PKR tidak pernah menjadi ahli organisasi tersebut.
Tambah Anwar, nama serta logo parti berkenaan telah pun dikeluarkan dari laman sesawang LI.
"Yang Berhormat boleh semak kita tidak pernah menjadi anggota.
"Kita pada peringkat awal (menjadi) associate, tapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka termasuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pendirian (menyokong) Israel, kita tidak menjadi ahli," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta penjelasan sama ada PKR pernah menjadi ahli pertubuhan yang menyokong Israel.