
PARLIMEN, 2 Mac – Permohonan pembaharuan lesen di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. diluluskan bagi tempoh 3 Mac 2026 hingga 2 Mac 2036.
- Lesen Lynas diperbaharui untuk tempoh 3 Mac 2026 hingga 2 Mac 2036 dengan syarat lebih ketat.
- Tiada pembinaan kemudahan pelupusan kekal baharu dibenarkan untuk residu WLP melebihi had kawalan.
- Selepas lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif mesti dihentikan dan sisa dineutralkan ke kurang 1Bq/g.
- Lynas diwajibkan memperkukuh R&D, komersialkan hasil makmal, dan memperuntuk 1% jualan kasar untuk dana R&D.
Kelulusan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) menerusi Jabatan Tenaga Atom Malaysia itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat lebih ketat serta semakan menyeluruh selepas tempoh lima tahun pertama.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang menegaskan tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu akan dibenarkan pada masa hadapan bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.
Menurut beliau, selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya.
“Residu radioaktif yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan ke tahap kurang daripada 1Bq/g. Ini bermakna tiada lagi pengumpulan residu radioaktif secara berterusan selepas tempoh lima tahun berkenaan. Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada lagi pertambahan residu radioaktif secara berterusan di dalam negara kita,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Beliau menambah, selain aspek kawal selia dan penguatkuasaan, pembaharuan lesen itu turut menetapkan komitmen lebih kukuh dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Katanya, Lynas dikehendaki melaksanakan hasil R&D yang berjaya di peringkat makmal ke peringkat komersial dan kegunaan industri, di samping memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan serta pihak industri.
Syarat memperuntukkan satu peratus daripada jualan kasar tahunan syarikat sebagai dana R&D turut dikekalkan dalam pembaharuan lesen kali ini.