Ketua Pembangkang sokong pendirian tegas PM kutuk serangan Israel ke atas Iran

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin / BERNAMA

PARLIMEN, 2 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk keras serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyokong kenyataan tegas Perdana Menteri yang mengutuk serangan ganas Israel ke atas Iran.
  • Desak semua pihak sokong pendirian kerajaan tanpa mengira perbezaan politik.
  • Merakam tahniah dan penghargaan kepada kerajaan atas kenyataan berani menentang kezaliman.
  • Kritik tindakan Amerika Syarikat yang dianggap mengutamakan kepentingan rejim Zionis dan mengabaikan kestabilan dunia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, pendirian tegas kerajaan itu wajar disokong semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kenyataan berani tersebut.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada kerajaan terutama Yang Amat Berhormat Tambun atas kenyataan yang tegas dan penuh semangat menentang kezaliman. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibawa Perdana Menteri bagi mengutuk serangan berkenaan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Pada masa sama, Datuk Seri Hamzah turut mengkritik tindakan Amerika Syarikat yang menurutnya lebih mementingkan kepentingan rejim Zionis-Israel.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Presiden Donald Trump yang didakwa hanya mengambil kira kepentingan tertentu tanpa melihat implikasi lebih luas terhadap kestabilan dan keamanan dunia.