fb fb fb fb fb

Lesen agensi terlibat dalam penipuan visa furada akan dibatalkan - MOTAC

(Mereka yang berkumpul di  Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan ibadah haji/ BERNAMA)

GEDONG, 11 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membatalkan lesen syarikat agensi pelancongan yang terlibat dengan penipuan visa Haji Furada.

Kejadian itu mengakibatkan sejumlah 380 jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Khamis lepas.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata ketika ini pihaknya juga sedang melakukan siasatan berasingan berkaitan insiden berkenaan, selain menunggu laporan siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Kami memang boleh mengambil tindakan kepada mereka yang berkenaan kerana telah melanggar peraturan undang-undang,

"Kementerian amat bersimpati kepada mereka yang menjadi mangsa keadaan ini, kerana mereka sangat berharap untuk menunaikan haji," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ibadah Qurban anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di Kampung Sibau Rumbau di Gedong.

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),  Datuk Sri Nancy Shukri)

Datuk Seri Nancy sehubungan itu menggesa syarikat-syarikat pelancongan untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan MOTAC terutama sekali melibatkan visa bagi mengelak perkara seumpama itu daripada berulang.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata sejumlah RM1.5 juta peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi melaksanakan projek-projek pembinaan serta penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut tahun ini.

Jelasnya, usaha tersebut bertujuan memastikan penduduk di Batang Sadong dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

Media Baharu