MACHANG, 12 Disember - Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pertukangan di atas bumbung rumahnya, di Labok, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superitenden Mohd Adli Mat Daud berkata mangsa, 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori terkena renjatan elektrik ketika memegang kerangka besi bumbung.
"Punca kejadian adalah terdapat kesan luka pada wayar elektrik dan wayar elektrik tersebut bersentuhan dengan kerangka besi bumbung.
"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan tergantung di bahagian kerangka bumbung," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Mohd Adli, Mayat mangsa telah dibawa turun dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dihantar ke hospital Machang untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.