Lelaki lemas di Pantai Tengah ditemukan

Mayat Arash Nashran Abdul Maser, 23 tahun ditemukan meninggal dunia kira-kira 100 meter daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Langkawi

LANGKAWI, 29 Mei – Lelaki yang dikhuatiri lemas pada Khamis di Pantai Tengah, di sini ditemukan meninggal dunia kira-kira 100 meter daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Arash Nashran Abdul Maser, 23, pengendali jet ski, ditemukan pasukan SAR kira-kira pukul 6.00 petang.
  • Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 6.48 petang di Jeti LKIM Cenang.
  • Pengunjung pantai dan pengusaha sukan air diingatkan supaya berwaspada terhadap cuaca, arus laut dan utamakan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Khairul Azhar Nuruddin dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa Arash Nashran Abdul Maser, 23 tahun, yang bekerja sebagai pengendali jet ski, ditemukan pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR) kira-kira pukul 6.00 petang tadi.

“Pasukan penyelamat sebelum itu telah membawa mangsa ke daratan sebelum pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira 6.48 petang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cenang,” menurut kenyataan itu.

Operasi SAR ditamatkan pada pukul 7.00 malam. Para pengunjung pantai dan pengusaha aktiviti sukan air turut diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan perubahan cuaca serta arus laut, dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Pada Khamis media melaporkan bahawa seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan jetski yang hanyut di tengah laut namun ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.