fb fb fb fb fb

Lelaki berehat di tepi jalan maut dirempuh lori

FOTO PDRM

LIPIS, 16 Jun- Hasrat seorang lelaki untuk menyambut Aidiladha di kampung halamannya tidak kesampaian apabila terlibat kemalangan maut di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta menghala Kuala Lipis, Pahang, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Mohamad Suhamel Ismail, 24, yang menunggang motosikal sedang berehat di tepi jalan sebelum dirempuh sebuah lori muatan tilam.

Menurut Ketua Polis Lipis, Penguasa Polis Ismail Man berkata, mangsa menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah keluarga di Kampung Bertam, Gua Musang, Kelantan, manakala pemandu lori, 29, dari Klang, Selangor dalam perjalanan menghantar tilam ke Tanah Merah, Kelantan.

Pemandu lori dikatakan cuba mengelak kereta yang berhenti di tengah jalan di Bulatan Benta akibat satu kemalangan, sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh mangsa.

Ismail berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian dimohon tampil untuk membantu siasatan.

1606 MAUT REMPUH LORI 2
FOTO PDRM

SITI AISHAH MD ISA