fb fb fb fb fb

Lebih banyak SPD akan diwujudkan- Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

SLIM RIVER, 7 Disember- Lebih banyak Stesen Parol Daerah (SPD) akan diwujudkan di negara ini dalam usaha memperkasa pelaksanaan program pemulihan dalam komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasrat itu bagaimanapun bergantung kepada keupayaan bajet yang diterima oleh kementeriannya.

Jelasnya, penubuhan SPD turut membantu meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penyeliaan melalui pelaksanaan intervensi yang efektif.

"Kita laksanakan berperingkat kalau diberi pilihan kita nak adakan semua kalau ada stesen ini fungsi dia meluas dan mengukuhkan sistem pemantauan dan pengawasan. Jika tiada, maka tiada elemen pengawasan kalau kita boleh tambah lebih banyak, lebih banyak penghuni boleh kita tempatkan sekali gus kurangkan kesesakan," katanya selepas Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia di sini, hari ini.

SPD adalah pusat transit kepada pegawai parol dan perkhidmatan komuniti daerah bertujuan memantau dan menyelia ke atas Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL).

Sehingga kini, terdapat 20 SPD diwujudkan sebagai sokongan kepada 52 Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menafikan dakwaan mengenai terdapat bilik penempatan banduan VIP (orang kenamaan) di Penjara Sungai Buloh mahupun mana-mana penjara di seluruh negara.

Beliau menyifatkan dakwaan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu itu dilihat sebagai cubaan untuk menjejaskan reputasi Jabatan Penjara.

“Sepanjang setahun saya duduk di KDN mengenali institusi penjara dan melakukan lawatan di sebahagian besar penjara di seluruh negara, tiada pun saya temui ruang VIP untuk mana-mana penghuni,” katanya.

Terdahulu, seorang bekas banduan Penjara Sungai Buloh dikenali sebagai ‘Abang Mat’ dalam satu wawancara telah mengulas mengenai keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjalani hukuman di penjara tersebut pada 2015.

ZEHRA BINTI ZAMBRI