
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Seramai 3,404 pelatih selesai menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, setakat pertengahan tahun ini.
- Usaha melengkapkan sembilan lagi kem latihan untuk melatih sehingga 9,200 peserta PLKN menjelang tahun hadapan.
- Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pelaksanaan PLKN di Dewan Rakyat.
- Masalah kesihatan dan melanjutkan pengajian dikenalpasti sebagai punca utama sesetengah pelatih menolak menyertai PLKN.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu, 1,202 pelatih menjalani latihan sepanjang 2025.
Menjelang hujung tahun ini, kira-kira 4,200 pelatih disasar menjalani program berkenaan di tiga kem latihan.
“Kita dalam usaha untuk melengkapkan sehingga sembilan lagi kem latihan buat masa ini dan kita jangka menjelang tahun hadapan, kita boleh melatih sehingga 9,200 orang di PLKN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Adly turut memaklumkan, masalah kesihatan dan melanjutkan pengajian merupakan antara punca utama sesetengah pelatih menolak untuk mengikuti PLKN.