
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan tindakan perundangan diambil terhadap platform Facebook susulan kegagalannya menghadiri pemukiman antara agensi bagi menangani jenayah penipuan di Malaysia.
- MCMC minta turunkan 271,472 kandungan sejak 1 Jan, 91% berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.
- Facebook mengandungi majoriti kandungan berbahaya: 81% perjudian dalam talian dan 58% penipuan dalam talian dikesan di platform itu.
- Kerugian penipuan tahun lalu RM2.7 bilion; bank berjaya menyekat kira-kira RM1.2 bilion cubaan penipuan.
Menurut beliau, platform berkenaan antara yang paling banyak dikaitkan dengan penyebaran kandungan penipuan dan judi dalam talian di negara ini.
“Saya bersedia sekiranya mereka memberikan kerjasama. Tapi kita lihat banyak daripada penipuan ini berlaku dalam Facebook. Satu platform terbesar yang terlibat dalam aktiviti scam tidak hadir. Jadi saya rasa mereka mungkin perlu diambil tindakan perundangan. Saya serah kepada MCMC untuk bincang, untuk hubungi mereka, berikan mereka peluang terakhir untuk buktikan.” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menghubungi Facebook dan memberi peluang terakhir kepada syarikat berkenaan untuk membuktikan komitmen mereka dalam bekerjasama dengan kerajaan Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Fahmi mendedahkan sebanyak 271,472 kandungan telah diminta diturunkan MCMC sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 91 peratus melibatkan kandungan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.
Beliau berkata 81 peratus kandungan perjudian dalam talian dikesan di Facebook, manakala 58 peratus kandungan penipuan dalam talian turut berada di platform sama.
“Dengan kerjasama yang lebih erat, teknik-teknik baru daripada penipuan akan dapat dikenal pasti dengan pantas, serta tindakan-tindakan penguasaan dapat dilaksana secara terselaras dan
bersepadu. Saya juga lihat ada beberapa aspek yang mungkin perlu kita beri keutamaan, termasuk dari segi psikologi untuk mangsa penipuan” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak RM2.7 bilion kerugian akibat penipuan direkodkan tahun lalu, manakala bank-bank di Malaysia berjaya menyekat kira-kira RM1.2 bilion cubaan penipuan melalui mekanisme keselamatan institusi kewangan.