fb fb fb fb fb

Lebih 19,000 pencarum PERKESO dapat manfaat rawatan dialisis percuma

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Lebih 19,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mendapat manfaat rawatan dialisis secara percuma sejak tahun 1999.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata terdapat purata peningkatan sebanyak 16 peratus pesakit yang memerlukan rawatan dalam kalangan orang berinsurans (OB) PERKESO setiap tahun.

"Kita mengambil keputusan untuk mendirikan pusat dialisis kita sendiri ialah kerana faktor kos dan kita mendapati bahawa kos rawatan dialisis ini semakin meningkat.

"Saya dah bagi contoh tadi apabila mulanya tahun 1999 Perkeso memberi bantuan kepada penyakit diabetes dan buah pinggang ini pada 1999 hanya membabitkan kos RM1.12 juta setahun, tetapi kini sudah mencecah RM350 juta.

"Tahun ini kita jangka akan meningkat sehingga RM400 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Pusat Dialisis PERKESO cawangan Kuala Lumpur di Wisma Perkeso, Kampung Bharu hari ini.

Tambahnya, permohonan untuk menambah 12 lagi mesin dialisis juga telah dikemukakan pada Kementerian Kesihatan.

Jelas Steven lagi, ia bagi memenuhi keperluan 222 pesakit selain pusat yang mempunyai kapasiti untuk memuatkan sehingga 37 mesin dialisis.

Setakat ini, PERKESO telah membuka lima pusat dialisis, iaitu masing-masing dua di Selangor iaitu Klang dan Shah Alam, dua di Johor iaitu di Batu Pahat dan Kluang dan kini di Kuala Lumpur.

Selain itu, PERKESO mempunyai lebih daripada 700 panel pusat dialisis di seluruh negara, termasuk pusat yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE