fb fb fb fb fb

Lawatan sulung PM ke Kuching

KUCHING, 19 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kuching petang ini bagi lawatan rasmi selama dua hari ke Sarawak.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Bumi Kenyalang sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lepas.

Pesawat khas yang membawa beliau selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 4.02 petang.

Ketibaan Anwar disambut oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan menteri kabinet negeri.

Malam ini, Datuk Seri Anwar menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Esok beliau akan menghadiri Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya sebelum menghadiri Program Jelajah Kerajaan Perpaduan-Kenduri Rakyat di Kubah Ria, Kuching pada sebelah petang.

Datuk Seri Anwar juga dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, Jalan Bako Kuching.

Beliau dijangka berlepas pulang ke ibu negara selepas kunjungan berkenaan.

(Anwar disambut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg)

Media Baharu