
KUALA LUMPUR, 13 APRIL – Lawatan kerja Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) di Dengkil menzahirkan komitmen berterusan kerajaan memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara terus terpelihara, di samping memperkukuh usaha diversifikasi sumber tenaga.
- KVDT sebagai fasiliti strategik nadi penyimpanan dan pengedaran petroleum serta pusat utama pengadunan biodiesel B7 dan B10.
- Operasi menerima bekalan berterusan daripada loji penapisan Melaka dan Port Dickson bagi memastikan pengedaran bahan api teratur dan stabil.
- Kerjasama antara kementerian diperlukan untuk memacu agenda tenaga boleh baharu dan menghadapi impak krisis tenaga global.
- Perlu percepat diversifikasi campuran tenaga serta mengurus sumber biobahan api domestik untuk kurangkan kebergantungan pada pasaran luar.
Lawatan bertujuan meninjau operasi fasiliti strategik berkenaan, selain memperkukuh kerjasama antara kedua-dua kementerian dalam memacu agenda tenaga boleh baharu (TBB) negara.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Ekonomi,usaha itu penting khususnya dalam mendepani impak krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang turut mempengaruhi kestabilan pasaran tenaga dunia.
“Dalam suasana geopolitik dunia yang semakin mencabar, isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa. Sebaliknya, ia perlu ditangani secara menyeluruh dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
KVDT adalah fasiliti strategik yang menjadi nadi penyimpanan dan pengedaran petroleum negara, khususnya bagi Lembah Klang, di samping berperanan sebagai pusat pengadunan biodiesel B7 dan B10 yang utama di wilayah ini.
Fasiliti berkenaan menerima bekalan produk secara berterusan daripada loji penapisan di Melaka dan Port Dickson, sekali gus memastikan sistem pengedaran bahan api kekal teratur, cekap dan stabil.
Menurut Datuk Seri Dr. Noraini, kesiapsiagaan dalam mengurus sumber biobahan api domestik amat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar yang tidak menentu.
Sementara itu, Akmal Nasrullah menegaskan operasi di KVDT adalah komponen penting dalam rantaian bekalan tenaga negara yang menyokong kestabilan ekonomi.
Beliau berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga global, Malaysia perlu mempercepat usaha diversifikasi campuran tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas.