Larangan warga asing beli minyak masak subsidi demi kepentingan rakyat

FOTO FB NURADLI RIDZWAN SHAH

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melarang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi disifatkan munasabah dan berpihak kepada kepentingan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Larangan beli minyak masak peket oleh warga asing untuk pastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasaran rakyat.
  • Subsidi ditanggung oleh negara dan cukai rakyat, bertujuan bantu golongan berpendapatan rendah kawal perbelanjaan dapur.
  • Pembelian oleh warga asing menyebabkan bekalan cepat habis, menjejaskan pengguna biasa dan peniaga kecil.
  • Warga asing masih boleh beli minyak komersial; langkah selari amalan negara lain utamakan rakyat.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan subsidi kerajaan digunakan dengan betul dan diterima kumpulan sasaran.

Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berpendapat, minyak masak peket dijual pada harga rendah kerana kerajaan menanggung sebahagian besar kosnya menggunakan hasil negara dan cukai rakyat, dengan tujuan membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mengawal perbelanjaan dapur.

Namun apabila minyak masak peket turut dibeli oleh warga asing, bekalan menjadi cepat habis sehingga rakyat menghadapi kesukaran mendapatkannya dan terpaksa membeli minyak masak pada harga lebih tinggi.

“Keadaan itu memberi kesan kepada pengguna biasa termasuk isi rumah kecil, selain menekan peniaga kecil seperti penjual goreng pisang atau nasi lemak apabila bekalan sukar diperoleh dan kos operasi meningkat.

“Bagi keluarga B40 pula, minyak masak peket disifatkan sebagai keperluan asas dan jika terpaksa membeli minyak komersial yang lebih mahal, mereka perlu mengurangkan perbelanjaan lain seperti keperluan sekolah anak, makanan berkhasiat atau simpanan kecemasan.

“Tanpa kawalan yang jelas, barangan bersubsidi mudah disalah guna termasuk pembelian berlebihan dan penggunaan yang menyimpang daripada tujuan asal subsidi, sekali gus menjejaskan keadilan pengagihan serta meminggirkan golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

KPDN menegaskan langkah itu bertujuan memastikan minyak masak peket sampai kepada rakyat yang layak dan digunakan selaras dengan objektif subsidi, manakala warga asing masih boleh membeli minyak masak komersial di pasaran terbuka.

Pendekatan tersebut juga dinyatakan selari dengan amalan banyak negara lain yang mengutamakan rakyat dalam pengagihan subsidi barangan keperluan asas.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan