fb fb fb fb fb

Kompetensi DUN antara langkah proaktif martabat undang-undang Islam

Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Langkah-langkah proaktif sentiasa diambil sebagai usaha memartabatkan undang-undang Islam menurut kerangka yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Antara yang diberi tumpuan termasuk isu kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah, menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas  yang mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas secara berkala.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sehingga kini mesyuarat itu telah diadakan sebanyak 25 kali bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal mengenai perkara berkenaan.

Laporan hasil kajian dan pandangan terhadap semua isu berbangkit akan disediakn dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, untuk dibentangkan kepada Mesyuarat  Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan 'pre-council' Majlis Raja-Raja (MRR)  untuk perkenan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. 

"Bagi memastikan kajian yang komprehensif dibuat, sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dibuat dari semasa ke semasa. Setakat ini antara sesi libat urus yang dibuat melibatkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Selangor, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Kehakiman Negeri Sarawak dan pakar perundangan dan perlembagaan.

"Sesi libat urus bersama-sama individu, institusi atau agensi lain juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkenaan maklum balas hasil Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah kompetensi DUN menggubal undang-undang supaya tidak bercanggah dengan kuasa persekutuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI