fb fb fb fb fb

KUSKOP sasar RM30 juta potensi pelaburan sempena Misi Khas Perniagaan Francais Malaysia di Jakarta

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 10 Jun- Sejumlah RM30 juta potensi pelaburan disasarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Misi Khas Perniagaan Francais Malaysia di Jakarta, Indonesia.

KUSKOP menerusi satu kenyataan memaklumkan, misi berkenaan bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran Indonesia yang mempunyai potensi pasaran yang besar dengan jumlah penduduk seramai 281 juta orang.

“Ia turut menyaksikan program padanan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia bersama pelabur dan usahawan tempatan Indonesia bagi kerjasama perniagaan.

“Usaha ini selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai ‘kesejahteraan' yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” kata KUSKOP dalam kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, misi empat hari bermula semalam itu merupakan kolaborasi kementerian bersama Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Misi itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, disertai wakil daripada Persatuan Francais Malaysia dan 11 syarikat francais Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan iaitu Marrybrown, Mokti’s, Tea Garden, D’Tandoor, HOME Maths Therapy, IrisPro, Little Caliphs, Muzart, Smart Reader Kids, UCMAS dan FatNinjas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE