KUSKOP lulus RM12.15 bilion pembiayaan kepada 313,912 usahawan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 19 November – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM12.15 bilion kepada 313,912 usahawan dan koperasi tempatan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan mencapai 81% daripada sasaran RM15 bilion, dengan 52,299 usahawan menerima pembiayaan kali pertama.
  • Pembiayaan mikro sebanyak RM4.02 bilion disalurkan kepada 310,497 usahawan mikro melalui agensi berkaitan.
  • KUSKOP akan memperkukuh inisiatif termasuk peluasan akses pembiayaan, pemudahcaraan permohonan dan pemantauan penyaluran dana.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah pembiayaan itu telah mencapai 81 peratus daripada sasaran RM15 bilion tahun ini, sekali gus turut memanfataakan 52,299 usahawan yang memperoleh akses pembiayaan buat kali pertama.

“Daripada jumlah tersebut, Bank Rakyat mencatatkan pembiayaan tertinggi iaitu sebanyak RM4.8 bilion, diikuti SME Bank sebanyak RM3.49 bilion, AIM RM2.55 bilion, TEKUN Nasional RM1.13 bilion, SKM RM93.23 juta, SME Corp Malaysia RM79.3 juta, PKK RM5.62 juta.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperluas akses pembiayaan kepada usahawan baharu di samping menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan sedia ada”, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sebanyak RM4.02 bilion pembiayaan mikro telah disalurkan kepada 310,497 usahawan mikro menerusi agensi pembiayaan berkaitan.

Ini sekali gus mencerminkan komitmen KUSKOP dalam memberi tumpuan kepada pembiayaan mikro berskala kecil bagi memastikan golongan peniaga kecil, penjaja dan usahawan yang berdepan kekangan mendapatkan modal dan peluang mengembangkan perniagaan.

Tambah beliau, KUSKOP akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif kementerian melalui peluasan akses pembiayaan, pemudahcaraan proses permohonan serta pemantauan prestasi penyaluran dana bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai usahawan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Muslimin Yahaya pada waktu pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.