Kerajaan perketat pemantauan aktiviti perlombongan REE

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 November – Kerajaan menegaskan pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) negara akan dilaksana secara terkawal tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar, dengan pemantauan ketat bagi memastikan aktiviti perlombongan di Gua Musang, Kelantan tidak mengundang pencemaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek perlombongan telah memperoleh kelulusan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling dan Skim Pengendalian Melombong.
  • Pemantauan ketat terhadap kualiti air, pengurusan sisa, pemulihan kawasan lombong dan tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran.
  • Kawal selia melibatkan JMG, JAS dan Jabatan Tenaga Atom; pemprosesan di Gopeng, perlombongan di Gua Musang; kebimbangan Orang Asli diberi perhatian.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata projek perlombongan berkenaan sudah memperoleh kelulusan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Skim Pengendalian Melombong (OMS).

“Jadi, ringkasnya kita tidak ambil mudah, kita tidak pandang ringan sekiranya berlaku pencemaran dan kita akan pantau dari segi kualiti air, pengurusan sisa, pemulihan kawasan lombong yang dilaksanakan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran yang berlaku,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) mengenai status projek perlombongan REE di Gua Musang serta keselamatan kaedah larut resap (leaching) yang digunakan.

Syed Ibrahim berkata, projek usaha sama berkenaan membabitkan aktiviti perlombongan di Gua Musang, manakala proses pemprosesan REE dilaksanakan di Gopeng, Perak.

Pemantauan dan kawal selia turut membabitkan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Tenaga Atom.

Dalam sesi sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat membangkitkan kebimbangan mengenai kesan projek itu terhadap kehidupan, kesihatan dan budaya masyarakat Orang Asli Temiar di kawasan berkenaan.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan mengambil serius perkara dibangkitkan dan akan meneliti kebimbangan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.