
PERMATANG PAUH, 29 Ogos – Pengurangan jumlah cabutan khas nombor ramalan menjadi bukti kerajaan MADANI tidak pernah menyokong kegiatan judi.
- Anwar menegaskan langkah pengurangan cabutan diambil untuk membendung kegiatan perjudian.
- Jumlah cabutan dikurangkan daripada 22 kepada lapan kali setahun sejak 2022.
- Anwar menafikan dakwaan beliau menyokong judi dan berkata jangan salahkan beliau atas dasar terdahulu.
- Menteri Besar Kedah membangkitkan isu kelulusan lesen perjudian kini terletak pada Kementerian Kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha membendung kegiatan perjudian.
Beliau berkata, jumlah cabutan dikurangkan daripada 22 kepada hanya lapan kali setahun sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2022.
Tehasnya, beliau tidak seharusnya dipersalahkan atas dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Orang kata Anwar ini tauke judi… Saya tidak berjudi dan saya tidak menyokong perjudian. Perjudian itu sudah wujud sebelum saya menjadi Perdana Menteri, ketika kerajaan terdahulu memerintah.
Dahulu.. berapa kali cabutan dibuat dalam setahun? Sebanyak 22 kali. Saya mengambil tindakan dan mengurangkannya daripada 22 kepada lapan kali setahun.
“Jadi, kalau mahu mengkritik saya, lihat dahulu apa yang berlaku ketika kamu memerintah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor membangkitkan isu tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada Kementerian Kewangan selepas pihaknya gagal menghalang pengeluaran lesen premis untuk perniagaan itu.