fb fb fb fb fb

KRC bakal tarik pelaburan RM10 bilion menjelang 2025


PADANG TERAP, 7 Februari-
Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 ribu peluang pekerjaan menjelang tahun 2025 .

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun baru dilancarkan, KRC sehingga kini berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, pelancaran projek strategik nasional di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu dibuat tepat pada masanya, ketika negara sedang menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, impak pandemik COVID-19.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kedah telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam negeri yang akan diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan negara.

KRC merupakan salah satu daripada projek transformasi yang dilaksana Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri yang maju, sekaligus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Projek Strategik NCER-Kedah Rubber City di sini.

Tambah beliau, pembangunan keseluruhan KRC meliputi kawasan seluas 1,244 ekar iaitu 496 ekar untuk fasa satu dan 748 ekar untuk fasa dua.

"Kerajaan persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk fasa satu projek KRC.

Berdasarkan kemajuan yang memberangsangkan di bawah fasa satu, fasa dua projek KRC akan dilaksanakan pada tahun 2023," katanya lagi.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut menyaksikan 10 pertukaran dokumen membabitkan kerjasama pelbagai pihak dalam projek KRC.


Media Baharu