KPWKM sedia beri khidmat kaunseling sokong emosi keluarga mangsa nahas helikopter

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, khidmat itu penting bagi membantu keluarga mangsa yang berdepan situasi sukar dan memerlukan pendekatan kaunseling yang bersesuaian./ RTM

SEMPORNA, 10 September – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa nahas helikopter yang memerlukan sokongan emosi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentingnya pendekatan kaunseling bersesuaian untuk membantu keluarga mangsa menghadapi kesedihan dan tekanan.
  • Kementerian menggerakkan pegawai berkemahiran dan berpengalaman bagi memberi bantuan kaunseling apabila diperlukan.
  • Kaunselor perlu bersedia dari segi penyampaian dan benar-benar memahami keadaan keluarga mangsa.
  • Kementerian mempergiat advokasi, pendidikan dan memperkukuh undang-undang termasuk Tribunal Antigangguan Seksual untuk menangani gangguan seksual.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, khidmat itu penting bagi membantu keluarga mangsa yang berdepan situasi sukar dan memerlukan pendekatan kaunseling yang bersesuaian.

Menurut beliau, kementerian sentiasa bersiap siaga untuk menggerakkan bantuan kaunseling sekiranya diperlukan, termasuk melalui pegawai yang mempunyai kemahiran dan pengalaman berkaitan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan keluarga mangsa tidak menghadapi kesedihan dan tekanan seorang diri.

“Kami sudah bersiap sedia dari segi kaunseling sebab bila kita nak memberikan kaunseling ini, kita sendiri perlu bersedia dengan apa yang kita nak cakap.

“Ini bukan perkara yang mudah, yang melibatkan keluarga dalam keadaan yang begitu sedih, jadi yang menjadi kaunselor itu perlu orang yang betul-betul memahami keadaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna: Advokasi Anti Gangguan Seksual X Eliminate Violence Against Women (AAGS X EVAW), di Semporna.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Nancy berkata sebanyak 388 kes gangguan seksual dilaporkan di seluruh negara sehingga 31 Mei lalu.

Menurut beliau, statistik Polis Diraja Malaysia turut menunjukkan peningkatan kes gangguan seksual daripada 477 kes pada 2022 kepada 522 kes pada 2023, 788 kes pada 2024 dan 1,083 kes tahun lalu.

Datuk Seri Nancy berkata peningkatan itu boleh dilihat daripada dua aspek, sama ada menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk membuat laporan atau sememangnya berlaku peningkatan kes gangguan seksual.

“Apabila ia makin bertambah, bagi kita itu menunjukkan sudah kesedaran itu meningkat. Kedua ialah mungkin kerana kes itu memang meningkat.

“Jadi sama ada kes meningkat disebabkan kesedaran ataupun kes memang meningkat, itu antara perkara yang kita lihat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya terus mempergiat advokasi dan pendidikan bagi memastikan masyarakat tidak menormalisasikan sebarang bentuk gangguan seksual.

Katanya, kerajaan memperkukuh usaha menangani isu tersebut menerusi Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) serta penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS).

Sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 134 aduan telah difailkan melalui TAGS, dengan 90 daripadanya berjaya diselesaikan.

Ddatuk Seri Nancy berkata tribunal berkenaan bukan hanya terbuka kepada wanita, malah lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual turut boleh menggunakan saluran berkenaan bagi mendapatkan pembelaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.