KPT tubuh jawatankuasa bebas teliti akta baharu ganti AUKU

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti penggubalan akta baharu susulan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penelitian menyeluruh akan merangkumi penubuhan universiti, tadbir urus, aspek akademik dan hal mahasiswa.
  • Proses melibatkan libat urus pihak berkepentingan, pembentukan kumpulan draf rang undang-undang dan mekanisme peralihan bagi memastikan operasi tidak terjejas.
  • Kerajaan memansuhkan AUKU diganti Akta Satu Pendidikan Tinggi; mahasiswa dijangka diberi ruang suara lebih luas tetapi perlu bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penelitian akan dilaksana secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan keseluruhan sektor pendidikan tinggi.

“Ini bukan soal semata-mata pada satu kelompok sahaja, seperti yang kita sedia maklum yang saya sebut tadi AUKU ini ada 44 seksyen di dalamnya.

“Ada soal-soal penubuhan universiti, soal tadbir urus universiti, soal akademik, soal mahasiswa dan hal-hal lain yang berkaitan di dalamnya,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi 2026 dan Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2026-2030, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, proses penggubalan akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, pembentukan kumpulan bagi membangunkan draf rang undang-undang baharu serta penyediaan mekanisme peralihan.

Mekanisme itu penting bagi memastikan operasi institusi pendidikan tinggi tidak terjejas sepanjang tempoh peralihan sebelum akta baharu dikuatkuasa.

Sementara itu, mahasiswa, Nurul Amirah Ariffin Kamal berharap pemansuhan AUKU membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan berkaitan isu kampus, masyarakat dan negara.

“Pada pandangan saya, pemansuhan AUKU ini dapat memberikan kebebasan dan ruang kepada pelajar untuk menyuarakan pandangan mereka sebagai mahasiswa.

“Pada masa sama, mereka perlu bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kebebasan itu,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa, Muhammad Hazeem Aizuddin Azmi berkata, perubahan itu juga perlu memastikan suara mahasiswa lebih didengari dalam isu semasa.

“Lebih banyak ruang perlu diwujudkan untuk mahasiswa melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan isu semasa supaya mereka merasakan pandangan mereka didengari, mempunyai impak dan bukan sekadar perkataan sahaja,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Satu Pendidikan Tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.