Platform digital digesa patuh RMC meski dalam tempoh kelonggaran

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Penyedia platform digital digesa mengutamakan pematuhan terhadap Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), meski tempoh transisi pelaksanaannya diberi hingga hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan ketara kandungan penipuan yang diturunkan, dari 6,297 (2023) kepada 99,693 sehingga 15 Julai tahun ini.
  • Kod memikul tanggungjawab kepada platform untuk mengenal pasti pihak yang membuat iklan menerusi perkhidmatan mereka.
  • Diharapkan pelaksanaan penuh tanggungjawab platform akan menurunkan kadar penipuan dalam talian.
  • Instrumen perundangan sedia ada mencukupi; pindaan dan Akta Jenayah Siber 2024 sudah diluluskan, jadi tiada akta baharu segera.

Tindakan itu penting susulan peningkatan ketara kandungan berunsur penipuan dalam platform media sosial yang diturunkan, daripada 6,297 pada 2023 kepada 99,693 setakat 15 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menegaskan, kod berkenaan meletakkan tanggungjawab kepada platform untuk mengenal pasti pihak yang membuat iklan menerusi perkhidmatan masing-masing.

“Sekarang kita masih berada dalam tempoh kelonggaran untuk memastikan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh platform.

“Jadi kami berharap apabila tanggungjawab ini dilaksanakan sepenuhnya, kita boleh melihat kandungan yang bersifat penipuan dalam talian ini menurun,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kenderaan Elektrik (EV) baharu SPX Express di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, instrumen perundangan sedia ada sudah memadai bagi menangani jenayah dan keselamatan dalam talian.

Ini termasuk pindaan terhadap ONSA, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Jenayah Siber 2024 yang telah diluluskan.

Sehubungan itu, tiada keperluan untuk menggubal akta baharu bagi menangani penipuan dalam talian buat masa ini.

“Saya rasa tak perlu tergesa-gesa dengan akta baharu, biarlah undang-undang ini berkuat kuasa dan kita tengok kesannya nanti,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.