KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) optimis untuk meningkatkan kemahiran belia dan anak muda negara dalam aliran sains melalui pembudayaan Sains, Matematik, Kejuruteraan, dan Teknologi (STEM) di sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata peratusan enrolmen murid dalam program STEM di Sarawak menunjukkan peningkatan yang positif dengan 30.50 peratus pada tahun 2021, 33.91 peratus pada tahun 2022, dan 34.66 peratus pada tahun 2023.
"Kami telah membina sebuah hab STEM di Pusat Kegiatan Guru Miri, Sarawak. Hab ini bertujuan menyediakan ruang bagi guru-guru bidang STEM menjalankan aktiviti bersama komuniti pembelajaran profesional (PLC) setempat serta berkongsi amalan terbaik dalam penyampaian kurikulum STEM," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah Wong, fokus ini selaras dengan keperluan dasar berkaitan sains, teknologi, dan inovasi, termasuk Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara, dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.