fb fb fb fb fb

KPK sasar lebih 5,000 hektar tanah untuk Program TSPKS 2.0

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober-Kementerian Perladangan & Komoditi (KPK) menyasarkan kawasan tanaman seluas 5,900 hektar untuk tanaman semula sawit di bawah program Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata insentif tersebut antara lain mempertingkatkan daya saing industri sawit negara agar hasil sawit tidak terjejas.

"Sehingga 11 Oktober lalu, kerajaan telah menerima permohonan daripada 2,311 pekebun kecil sawit merangkumi  sekitar 7699 hektar.

"Daripada jumlah ini kerajaan telah meluluskan permohonan bagi seramai 1,165 pekebun kecil sawit dengan keluasan 3,378 hektar yang melibatkan pembiayaan berjumlah RM52.9 juta. Selebihnya dalam proses kelulusan", katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Parlimen hari ini.

Ujar beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM 100 juta di bawah program sama untuk program tanam semula sawit bagi pokok sawit yang telah tua dan tidak lagi produktif.

Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal tahun ini, menerima sejumlah 2,384 permohonan yang meliputi kawasan seluas 6,723.88 hektar setakat ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD