KUALA LUMPUR, 16 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah melaksanakan Pelupusan Mega KPDN Kuala Lumpur 2025 melibatkan barangan kes bernilai lebih RM4.5 juta membabitkan 309 kes sepanjang tempoh Januari 2024 hingga Disember 2025.
Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman berkata pelupusan berkenaan merupakan nilai tertinggi direkodkan dalam tempoh dua tahun dan mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan pengurusan barang kes eksibit dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, pelupusan yang dilaksanakan hari ini sahaja melibatkan barangan bernilai melebihi RM1 juta membabitkan 54 kes yang telah selesai prosiding mahkamah dan mendapat perintah kebenaran pelupusan.
"Pelupusan barang kes adalah melibatkan penghasilan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Antara barangan yang dilupuskan termasuk pakaian dan aksesori fesyen, komponen elektronik dan aksesori telefon, produk kesihatan dan kecantikan, produk pembersihan dan penjagaan rumah serta alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan," katanya.
Sepanjang tahun 2025, KPDN WPKL telah merekodkan 584 kes penguatkuasaan dengan nilai rampasan mencecah RM4.66 juta, nilai kompaun sebanyak RM825,500 serta denda berjumlah RM255,658.
Pelupusan Mega yang diadakan di stor penyimpanan eksibit KPDN WPKL itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pegawai penguat kuasa KPDN serta wakil pemilik cap dagangan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard Pengurusan Eksibit (Barang Kes).
Dalam pada itu, KPDN Kuala Lumpur akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan pada tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada usaha membanteras kartel dan sindiket berskala besar yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan.