
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan, di samping memastikan kestabilan bekalan barang kawalan di pasaran meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
- Mulai 1 April, larangan jual dan beli petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing bagi memastikan subsidi disasarkan kepada rakyat.
- Stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan diarahkan hadkan jualan diesel subsidi kepada 50, 100 dan 150 liter setiap transaksi.
- Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa dikerahkan untuk Ops Tiris 4.0; orang ramai digesa salur aduan melalui saluran rasmi KPDN.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, langkah tersebut selari dengan hasrat kerajaan untuk menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara serta memenuhi keperluan rakyat.
Menurut beliau, strategi lebih agresif telah dirangka bagi mendepani kemungkinan gangguan bekalan bahan api global yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara.
Bermula 1 April ini, KPDN akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia.
“Langkah ini bagi memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kenderaan asing dan pengusaha stesen minyak yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan semua pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diarahkan melaksanakan kawalan penjualan diesel mengikut kategori kenderaan dengan had 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi bermula tarikh sama.
“Langkah ini bertujuan memastikan diesel subsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk sindiket penyeludupan,” katanya lagi.
Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan menerusi Ops Tiris 4.0 dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan.
Beliau turut memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan menyeleweng subsidi negara tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan diambil tanpa toleransi.
Orang ramai turut diseru menyokong gerakan KITA GEMPUR serta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu membanteras manipulasi dan ketirisan.