AYER KEROH, 23 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan melaksanakan operasi lebih kerap sepanjang Tahun Melawat Melaka (TMM2024).
Tegas Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar tindakan itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dan makanan sewenang-wenangnya.
Ia susulan terdapat peniaga di festival makanan di negeri itu didapati menaikkan harga jualan sehingga 200 peratus berbanding harga asal.
Justeru, beliau meminta orang ramai untuk segera membuat aduan sekiranya terdapat kedai yang menaikkan harga dengan melampau.
"Kita memantau secara rapat untuk semua karnival jualan makanan yang sedang berlangsung di negeri melaka dan kita faham salah satu alasannya adalah kos bahan mentah yang tinggi, tetapi kami rasa ia bukannya alasan untuk menaikkan harga sebanyak 200 peratus dan kita juga ingin menyarankan kepada semua peniaga luar khususnya peniaga makan jangan menaikkan harga sewenang wenangnya, sebab kalau naik kami datang kita kompaun dengan kadar segera," kata Norena Jaafar dalam sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pusat beli belah, di sini.
Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Alex Seah.
Mengulas mengenai SHMMP Krismas beliau berkata, sebanyak 14 jenis barangan akan diwartakan sempena pelaksanaan skim tersebut.
Antara barangan tersebut seperti bawang merah besar import, ubi kentang import, cili merah, lada benggala hijau dan kubis bulat import.