fb fb fb fb fb

KPDN kenal pasti barang kawalan sempena Deepavali

Datuk Armizan Mohd Ali

SERDANG, 16 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam fasa mengenal pasti barangan yang akan disenarai dalam kategori barangan harga kawalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia akan diumumkan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali dalam tempoh terdekat.

Ia termasuk mengenal pasti jenis sayuran yang mendapat permintaan tinggi sepanjang perayaan berkenaan.

"Tidak lama lagi saya akan umum. Sekarang dalam proses bincang dengan industri untuk lihat apa barang-barang yang sesuai termasuk sayur utk kita masukkan dalam senarai barangan dengan harga kawalan.

"Apabila selesai, saya akan umumkan jenis barangan untuk tahun ini yang kita pilih yang juga persetujuan daripada industri," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian AgroInvest MARDI 2024 di MAEPS, di sini.

KPDN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan aduan tentang potensi kenaikan harga barangan tersebut.

Mengulas mengenai isu kenaikan harga sayur, pihaknya akan meneliti aspek penawaran harga bekalan sayur.

Dalam pada itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dipelawa menyertai Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC).

Armizan berkata, perkara itu sebagai usaha mempertingkat pengurusan harta intelek institut berkenaan.

"Melalui Program TISC ini kita dapat berikan akses kepada usahawan kita berkenaan sumber paten dan bukan paten, saintifik dan teknikal. Penerbitan tentang harta intelek dan berasaskan data serta bantuan dalam membuat teknologi juga melihat kepada pesaing yang ada," katanya.

TISC merupakan pusat setempat dibangunkan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) bagi pereka cipta dari negara-negara anggota termasuk Malaysia.

Penyertaan MARDI dalam TISC akan membolehkan akses dalam talian kepada sumber paten dan bukan paten serta penerbitan berkaitan harta intelek diperluas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI