KPDN akan tambah kekerapan Jualan Rahmah MADANI bantu rakyat tangani kos sara hidup

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jualan Rahmah MADANI di Labuan / Foto RTM

LABUAN, 19 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan kekerapan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) mengikut keperluan setempat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan yang berdepan harga barangan lebih tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PJRM diadakan sembilan kali sebulan, menawarkan barangan keperluan 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
  • KPDN meneliti penyelarasan peruntukan untuk menambah kekerapan sebagai intervensi jangka pendek.
  • Kerajaan mengakui harga keperluan di Labuan lebih tinggi kerana kos pengangkutan dari tanah besar Sabah.
  • Kekerapan dan lokasi PJRM akan dirancang seimbang supaya pengguna nikmati harga rendah tanpa menjejaskan peniaga tempatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini PJRM diadakan sebanyak sembilan kali sebulan di lokasi terpilih di seluruh negara dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, KPDN sedang meneliti penyelarasan peruntukan sedia ada bagi membolehkan program itu diadakan dengan lebih kerap sebagai langkah intervensi jangka pendek, sementara penyelesaian jangka panjang dirangka bersama Kementerian Kewangan.

“Kita boleh tambah jumlah Jualan Rahmah dahulu di samping mencari penyelesaian jangka panjang. Program ini sudah sedia ada dan di peringkat KPDN, kita boleh menyelaras peruntukan untuk meningkatkan kekerapan penganjurannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Rahmah MADANI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata, kerajaan turut mengakui harga barangan keperluan di Labuan secara umumnya lebih tinggi berbanding kawasan lain berikutan kos pengangkutan bekalan dari tanah besar Sabah ke pulau itu.

Justeru, KPDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mencari mekanisme yang sesuai untuk mengurangkan beban kos sara hidup pengguna di Labuan dalam jangka panjang.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan PJRM juga mengambil kira pandangan peniaga runcit yang bimbang penganjurannya secara terlalu kerap boleh menjejaskan pendapatan harian mereka.

“Kekerapan dan lokasi program akan dirancang secara seimbang supaya pengguna terus menikmati harga yang lebih rendah tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan peniaga tempatan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.